Pemuda Gagasan Rakyat Ikrar Jadi Barisan Hadapan Pertahan Presiden – Azrul

Pemuda Gagasan Rakyat Ikrar Jadi Barisan Hadapan Pertahan Presiden – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah berikrar untuk terus menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor, daripada sebarang serangan, tohmahan dan fitnah pihak tidak bertanggungjawab.

Ketuanya, Datuk Azrul Ibrahim berkata, sayap parti itu akan terus berdiri teguh sebagai tunjang kekuatan dalam mempertahankan Presiden serta barisan kepimpinan Gagasan Rakyat.

“Sebarang usaha memburukkan kepimpinan parti dengan naratif yang tidak berasas akan ditangani secara berfakta, berprinsip dan berhemah.

“Pada masa yang sama, Pemuda tidak akan hanya berperanan sebagai benteng mempertahankan parti, tetapi juga sebagai penyambung lidah dan suara rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.

Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat turut komited memastikan setiap isu, keluhan dan aspirasi rakyat terus diangkat serta diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

Katanya, pergerakan itu akan terus bergerak dengan semangat kesatuan, kesetiaan dan tanggungjawab dalam memperkukuh parti, mendekati anak muda serta memastikan suara rakyat sentiasa didengari.

Sementara itu, mengulas isu pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Azrul mempersoalkan pihak yang pernah berkuasa ketika kaedah pelaksanaan Rakan Pelaksana Projek (PDP) ditamatkan tetapi gagal memastikan projek berkenaan diteruskan seperti di Sarawak.

“Kenapa Sarawak boleh teruskan Pan Borneo Highway mereka — sama-sama batal PDP — tetapi Sabah tidak?

“Itu kita pulangkan soalan itu kepada merekalah, dan mereka perlu memberikan penerangan kepada rakyat mengapa mereka gagal untuk pastikan Pan Borneo ini dapat diteruskan walaupun kaedah pelaksanaan PDP itu ditamatkan dan digantikan dengan kaedah konvensional,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Fasa 1B Pan Borneo Sabah yang bermula pada 2024 di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan perkembangan positif dengan banyak pakej projek mendahului jadual.

Beliau turut berharap kontraktor dapat memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual ditetapkan bagi menyediakan jaringan jalan raya yang selamat dan efisien kepada rakyat Sabah.