Pemuda Gagasan Rakyat Susun Semula Gerak Kerja Susulan Penstrukturan Parti

Pemuda Gagasan Rakyat Susun Semula Gerak Kerja Susulan Penstrukturan Parti

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyelaras dan memperkukuh gerak kerja organisasi di semua peringkat susulan penstrukturan semula pentadbiran parti yang dilaksanakan baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Azrul berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat membabitkan barisan Exco Pemuda bersama Ketua-Ketua Pemuda Bahagian yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, penyelarasan berkenaan penting bagi memastikan kekuatan dan keupayaan parti terus diperkasakan di setiap peringkat.

“Langkah ini penting bagi memastikan kekuatan dan keupayaan parti terus diperkasakan di setiap peringkat.

“Mesyuarat turut membincangkan perancangan dan pendekatan Pemuda dalam menyantuni pelbagai segmen anak muda di negeri ini, sekali gus meningkatkan sokongan golongan tersebut terhadap Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat akan mempergiatkan pelaksanaan program serta siri libat urus di peringkat akar umbi bagi mendengar, memahami dan mengangkat aspirasi anak muda.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut memberi perhatian kepada isu asas rakyat, khususnya berkaitan bekalan air, jalan raya dan elektrik.

Katanya, Pemuda mengambil maklum perkembangan pelaksanaan projek berkaitan yang sedang dilaksanakan dan dijangka diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh ditetapkan.

“Kita bukan sahaja mahu memastikan projek-projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual, malah isu dan kesulitan yang dihadapi rakyat sementara menunggu penyelesaian projek berkenaan juga perlu ditangani secara lebih proaktif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat turut mengadakan kunjungan dan pertemuan bersama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan itu merupakan langkah awal dalam membina hubungan dan memperkukuh jaringan kerjasama politik antara kedua-dua sayap parti, khususnya dalam membincangkan kepentingan serta aspirasi anak muda.

Pada masa sama, beliau menegaskan Pemuda Gagasan Rakyat akan terus mempertahankan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor, daripada serangan, tohmahan dan fitnah pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebarang usaha memburukkan kepimpinan parti dengan naratif yang tidak berasas akan ditangani secara berfakta dan berprinsip.

“Pada masa yang sama, Pemuda tidak akan hanya berperanan sebagai benteng mempertahankan parti, tetapi juga sebagai penyambung lidah dan suara rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus bergerak dengan semangat kesatuan, kesetiaan dan tanggungjawab dalam memperkukuh parti, mendekati anak muda serta memastikan suara rakyat sentiasa didengari.