KOTA KINABALU, SABAH – Penglibatan semua pihak termasuk masyarakat India diperlukan bagi memastikan matlamat di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dicapai.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata SMJ adalah rangka pembangunan inklusif untuk menjadikan Sabah dan rakyatnya progresif.
Beliau turut menggesa masyarakat India dan usahawan di Sabah memanfaatkan pakej ekonomi yang ditawarkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Saya berharap masyarakat India di Sabah akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan memastikan semua agenda serta inisiatif pemulihan ekonomi di SMJ berjaya,” katanya pada majlis makan malam Dewan Perniagaan India Sabah (SICC) di Hotel Le Meridien disini semalam.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Jasni Daya.
Ketua Menteri juga mengambil maklum tentang rungutan masyarakat India Sabah, terutamanya berkaitan isu yang tidak dapat diselesaikan seperti penduduk tetap dan pembiayaan kuil.
“Saya percaya isu ini boleh ditangani dengan kerjasama antara SICC dan badan yang mewakili masyarakat India,” katanya.