SANDAKAN: Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sandakan menerusi pelaksanaan projek naik taraf sistem bekalan air serta penambahan sumber air di kawasan strategik.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata, isu bekalan air di daerah itu memerlukan iltizam politik semua pihak bagi memastikan penyelesaian yang tuntas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Antara langkah kritikal yang perlu dipercepatkan ialah penambahan sumber air, khususnya melalui cadangan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud Fasa 2 serta pembinaan tangki-tangki air di lokasi strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Lawatan Tapak Projek Water Supply System Upgrading Sandakan bersama Senator Datuk Anna Bell Perian, Datuk Jaffari Waliam Jaffari selaku Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Gum-Gum, Datuk Amirshah Yaakub (PPM Sungai Sibuga) serta pimpinan Pemuda zon Sandakan.
Menurut Azrul, lawatan itu turut meninjau operasi LRA Sungai Sibuga yang dikendalikan oleh konsesi Timatch, yang sepatutnya beroperasi pada kapasiti 21 juta liter sehari (MLD), namun kini hanya mampu menghasilkan kurang daripada 4 MLD.
Keadaan sama, katanya, turut berlaku di LRA Hilltop yang berkapasiti asal 15 MLD tetapi ketika ini hanya menghasilkan sekitar 4 MLD air terawat.
“Bagaimanapun, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan konsesi memberi jaminan tambahan bekalan kira-kira 2 MLD di LRA Hilltop dalam masa terdekat, selain potensi peningkatan kapasiti yang sama di LRA Sungai Sibuga,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan projek berkaitan serta bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan masalah bekalan air di Sandakan dapat ditangani secara berperingkat dan berkesan.






