SINGAPURA: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) komited membantu syarikat serta usahawan Sabah mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran Singapura, selaras dengan fokus penskalaan perusahaan di bawah Wawasan Sabah First.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat Disember 2025 hanya 261 syarikat Sabah berdaftar dengan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Singapura daripada 12,742 syarikat Malaysia, justeru usaha memperkasa penyertaan perlu dipertingkat.
Beliau menegaskan MINDET akan memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti pengeluaran, kualiti serta pematuhan standard antarabangsa agar lebih banyak syarikat Sabah, termasuk syarikat pemula, mampu menembusi pasaran luar negara.
MINDET melalui DIDR dan STTOS akan terus bekerjasama dengan MATRADE untuk membangunkan dan mempromosikan produk Sabah, yang sebahagiannya kini menerima sambutan positif di Singapura.
Dalam lawatan kerja itu, Ewon turut mengadakan perbincangan dengan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Singapura bagi memudah cara pelaburan ke Sabah, termasuk jemputan menyertai Sabah Trade & Investment Forum pada Ogos ini.
MINDET juga akan memperhebat promosi melalui Sabah Business Trip dengan kerjasama Singapore Business Federation.
Selain itu, perbincangan bersama Singapore Cooperation Enterprise (SCE) menyentuh cadangan program lawatan perniagaan ke Sabah dan penyertaan dalam Sabah International Expo 2026, selain meneliti amalan terbaik seperti platform sehenti perniagaan bagi menyokong pertumbuhan PMKS di Sabah.






