LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di KM 13 Jalan SMK Segama, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 pagi sebelum sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah Toyota Vigo terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam gaung. Terdapat tiga mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan dan pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa naik ke jalan raya menggunakan tali serta pengusung (stretcher) sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.
Operasi menyelamat yang turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu ditamatkan pada jam 2.17 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Identiti penuh mangsa masih belum diperoleh, namun salah seorang mangsa dikenal pasti berusia 33 tahun, manakala dua lagi merupakan lelaki dewasa.






