MALAYSIA MELANGKAH KE FINAL PIALA RAJA THAILAND 2022 SELEPAS TUNDUKKAN THAILAND

MALAYSIA MELANGKAH KE FINAL PIALA RAJA THAILAND 2022 SELEPAS TUNDUKKAN THAILAND

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Thailand terpaksa akur dengan tunduk kepada Malaysia selepas tewas di laman sendiri malam tadi di Stadium Chiang Mai bagi merebut tempat ke pentas Piala Raja Thailand 2022.

Kedua-dua pasukan yang terikat dengan jaringan 1-1 menentukan hasil kemenangan menerusi sepakan penentuan yang mana skuad bola sepak Malaysia memenangi 5-3 dan sekaligus melangkah ke pentas final.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon bakal bertemu Tajikistan pada pentas final selepas lawannya terlebih dahulu menewaskan Trinidad dan Tobago 2-1 pada aksi sebelah petang.

Kegagalan Supachok Sarachat menyempurnakan penalti memaksa Thailand terpaksa menelan keperitan apabila perlu melihat negara lain menjulang Piala Raja Thailand 2022.

Pada aksi malam tadi, Malaysia berjaya mengawal Thailand dengan permainan bertenaga dan sentiasa menekan di garisan tinggi bagi memastikan tuan rumah tidak mampu bergerak bebas untuk mengatur gerakan terbaik mereka.

Percubaan pemain sayap, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-17 tersasar sebelum gawang Malaysia diselamatkan dengan terjahan kemas Ahmad Khuzaimi Piee yang menghalang Sarachat daripada melakukan percubaan pada minit ke-23.

Malaysia membuatkan penyokong Thailand terkedu pada minit ke-32 selepas hantaran Safawi Rasid disudahkan La Vere Corbin Ong di hadapan mulut gol Thailand untuk meletakkan Malaysia di depan 1-0.

Aksi kemas Ahmad Syihan memastikan pintu gol Malaysia terus dikunci apabila cemerlang menafikan percubaan Bordin Phala pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Thailand tampil lebih garang namun benteng pertahanan negara tenang mengawal asakan Thailand yang berusaha keras bagi mendapatkan gol penyamaan.

Malaysia berpeluang menambah gol kedua menerusi tandukan Darren Lok, namun ditepis Kampon Phatomakkakul pada minit ke-60 sebelum Syihan menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga percubaan yang seharusnya menghadiahkan gol buat Thailand.

Selepas Malaysia beraksi dengan 10 pemain apabila Nor Azam Azih dilayangkan kad kuning kedua di hujung permainan, Pansa Hemviboon mengikat kedudukan menerusi sentuhan terakhir sekali gus mengheret perlawanan ke sepakan penalti penentuan.