SANDAKAN: Lebih 300 warga Sabah menyertai edisi ke-15 Jelajah AI MyMahir (JAM) anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di Batu Sapi pada Jumaat, bagi memperluas kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan pengetahuan masa depan kepada komuniti setempat.
Peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar TVET, pendidik, pencari kerja, usahawan dan masyarakat setempat.
Program di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu mencerminkan usaha kerajaan memperluas akses kemahiran masa depan ke luar bandar.
Program dirasmikan Timbalan Pengerusi TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, mewakili Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Menurutnya, akses saksama kepada pembangunan kemahiran penting bagi mempersiapkan rakyat menghadapi ekonomi yang pesat berubah, selain memastikan komuniti termasuk di Sabah tidak ketinggalan dalam arus teknologi.
Pada program itu, lima pelajar sekolah menengah menerima komputer riba selepas memenangi pertandingan AI Future Vision. Inisiatif ini turut melengkapkan program YES! Rock the School di lima sekolah di Batu Sapi yang memperkenalkan STEM, TVET dan laluan kerjaya masa depan.
Peserta didedahkan kepada asas AI serta aplikasinya dalam pendidikan, kerjaya, produktiviti, keselamatan siber dan robotik, termasuk potensinya dalam sektor utama Sabah seperti pelancongan, pertanian dan pembuatan.
Batu Sapi merupakan lokasi ke-15 jelajah tersebut yang akan diteruskan ke kawasan Parlimen lain di seluruh negara.






