KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah tetap relevan dan berfungsi sebagai sebuah parti yang bermaruah walau apa pun yang berlaku.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor bukan atas restu pihaknya yang telah sebulat suara menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“ADUN UMNO yang membelakangkan keputusan parti ini tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kepimpinan bahagian kecuali seorang berjawatan ,Timbalan Ketua Bahagian sementara yang lain hanya anggota biasa.
“Sebilangannya sudah dikenali sebagai pemimpin yang sering kali bertukar parti dan ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan UMNO Sabah, mereka yang lari lebih rela menyertai kepimpinan kerajaan yang tidak berparti” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata tidak timbul isu UMNO – BN cuba menggulingkan kerajaan berikutan beliau menyifatkan mengulingkan dan membentuk kerajaan merupakan dua tindakan yang berbeza.
“Tujuan kita adalah untuk memperbetulkan hala tuju politik agar rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu dibangunkan.
“Mengguling ini bermakna dia membinasakan, jadi mesti ada definisi berbeza. InsyaAllah, kita bukan mengguling,” katanya.
Beliau juga berkata apa yang dilakukan oleh UMNO Sabah ialah untuk menentukan rakyat Sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintahan pada ketika ini agar selaras dengan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut mengenai situasi politik di negeri ini Bung Moktar berkata, walaupun kelihatan tenang, pergolakan masih belum selesai.
“Politik ini tidak selesai. Walaupun di Sabah sudah tenang tapi pergolakannya masih tidak selesai disebabkan pembentukan kerajaan pada peringkat awal adalah daripada UMNO dengan Perikatan Nasional (PN).
“Ini pun menjadi persoalan jadi tidak apa, orang mahu bermain politik kita main politik,” katanya.
Mengulas mengenai lima nasib ADUN UMNO yang tidak menyokong keputusan parti menarik sokongan terhadap Hajiji, Bung Moktar berkata ia akan ditentukan kelak.
“Ia akan ditentukan oleh parti dan kita tunggu apa yang parti boleh lakukan untuk lima ADUN yang bertindak di luar jangkaan ini.
“Kita belum (usulkan kepada lembaga disiplin), sebab ada proses-proses tertentu yang perlu kita ikuti,” katanya.





