KOTA KINABALU: Memperkasa kepimpinan Muslim dalam semangat Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai parti berbilang kaum menjadi teras utama misi Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam, yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan akan datang.
Ketua Bahagian PBS Lumadan itu berkata, pencalonannya bukan sekadar untuk mengisi jawatan, sebaliknya satu amanah bagi memperkukuhkan PBS sebagai sebuah parti yang bersatu, inklusif dan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata, pengalaman dalam kepimpinan serta khidmat kepada rakyat akan dimanfaatkan untuk memperkukuhkan organisasi parti, melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis, memperkasakan ekonomi rakyat khususnya di luar bandar serta memastikan PBS kekal menjadi suara yang berwibawa dalam mempertahankan hak dan masa depan Sabah.
“Keutamaan saya ialah memperkukuhkan peranan serta penyertaan pemimpin Muslim di semua peringkat organisasi PBS, di samping melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa, berintegriti dan mampu menjadi jambatan perpaduan dalam parti.
“Usaha ini selaras dengan prinsip PBS sebagai parti berbilang kaum yang menghormati kepelbagaian agama, budaya dan kaum di Sabah, sekali gus mengukuhkan kerjasama serta persefahaman antara semua komuniti,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Menurut Ruslan, beliau juga berhasrat memperkukuh jentera parti di semua peringkat dengan membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda dan wanita untuk memegang peranan kepimpinan.
Selain itu, katanya, program latihan kepimpinan, komunikasi dan pengurusan organisasi akan diperkasakan bagi melahirkan pelapis yang mampu meneruskan perjuangan parti.
Dalam aspek pembangunan, Ruslan berkata, beliau komited memperjuangkan ekonomi rakyat dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai pemacu ekonomi, selain menggalakkan peluang pekerjaan, keusahawanan serta pembangunan luar bandar yang lebih menyeluruh melalui penyediaan kemudahan asas, teknologi dan akses pemasaran.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan PBS terus menjadi suara yang lantang dan berwibawa dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, di samping mengukuhkan perpaduan dalaman parti serta kerjasama strategik demi kestabilan politik.
Katanya, setiap keputusan parti perlu berpaksikan suara akar umbi dan kepentingan rakyat bagi memastikan PBS kekal relevan serta diyakini sebagai wadah perjuangan masa depan Sabah.






