KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua agensi berkaitan menggerakkan sepenuhnya aset dan tenaga bagi mempercepatkan operasi menyelamat serta bantuan kepada mangsa banjir yang melanda Tawau dan beberapa kawasan sekitarnya hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius situasi berkenaan dengan keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan nyawa rakyat serta semua mangsa menerima bantuan dan keperluan asas secepat mungkin.
“Saya telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menggerakkan segala aset dan tenaga bagi mempercepatkan operasi menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas.
“Keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan nyawa rakyat, di samping semua mangsa menerima bantuan dan keperluan asas dengan segera,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Hajiji turut merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terjejas akibat bencana banjir itu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan terjejas dan berisiko supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.
Beliau turut mendoakan agar keadaan kembali pulih dengan segera, selain berharap semua mangsa dipermudahkan urusan serta dilindungi daripada sebarang musibah.
“Saya juga mendoakan agar seluruh anggota pasukan penyelamat diberikan kekuatan dan keselamatan dalam menjalankan tugas,” katanya.






