KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag menghadiri majlis Royal Mess Night sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri (Dr.) Musa Aman di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.
Hajiji dan isteri tiba kira-kira jam 7.45 malam, disusuli keberangkatan tiba TYT Musa Aman bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin.
Sebaik keberangkatan tiba, TYT bersama Toh Puan diiringi ke sesi bergambar rasmi sebelum perarakan masuk ke meja utama dengan diiringi Swordbearer dan Bagpipes, diikuti nyanyian lagu Negaraku serta Sabah Tanah Airku.
Majlis turut diserikan dengan perarakan Panji-Panji Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke dalam dewan sebelum berlangsungnya acara tradisi toast atau minum ucap selamat sebagai simbol taat setia dan penghormatan.
Antara acara utama ialah Toast 1 bagi minum ucap selamat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti Toast 2 kepada Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Toast 3 kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara.
Pengisian lain majlis termasuk upacara memotong kek, penyampaian cenderahati serta persembahan hiburan yang diiringi oleh Kombo PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).






