RM772,000 Disalur Kepada Sekolah, PIBG dan PPD di Papar, Tingkat Kecemerlangan Pendidikan

RM772,000 Disalur Kepada Sekolah, PIBG dan PPD di Papar, Tingkat Kecemerlangan Pendidikan

0
SHARE

PAPAR: Sebanyak RM772,000 disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah-sekolah di daerah Papar menerusi tiga inisiatif bantuan pendidikan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan kecemerlangan pendidikan di daerah itu.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim pada Program Aspirasi Murni Pantai Manis 2030: Kerjaya dan Pendidikan Daerah Papar 2026 yang dirasmikan penutupannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

Peruntukan itu meliputi RM400,000 menerusi Bantuan Khas Tunai Pendidikan (BALKIS) kepada PPD Papar, RM186,000 melalui Bantuan Geran Untuk Sekolah (BAGUS) kepada PIBG sekolah-sekolah di daerah berkenaan serta RM186,000 di bawah Skim Bantuan Untuk Sekolah (SUKSES) kepada sekolah-sekolah di Papar.

Pengiran Saifuddin berkata, pendidikan merupakan asas utama dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, justeru usaha memperluaskan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang kerjaya perlu terus diperkasakan.

Dalam era digital yang berkembang pesat, anak-anak kita perlu diberi pendedahan awal mengenai peluang pendidikan tinggi, bidang TVET, keusahawanan dan pekerjaan masa hadapan.

“Saya berharap para pelajar berani mengejar cita-cita serta merebut setiap peluang yang ada sama ada melalui laluan akademik, TVET mahupun keusahawanan demi membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, Program Aspirasi Murni Pantai Manis 2030 merupakan manifestasi komitmen berterusan untuk menghubungkan masyarakat dengan institusi pengajian tinggi, institusi TVET, agensi kerajaan, pihak industri dan rakan strategik bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan, latihan serta pekerjaan kepada generasi muda.

Program itu berjaya menghimpunkan lebih 600 pengunjung dengan penyertaan 33 pempamer terdiri daripada institusi pengajian tinggi, institusi TVET, agensi kerajaan, pihak industri dan usahawan tempatan.

Menurut Pengiran Saifuddin, kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat diyakini mampu melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada pembangunan Pantai Manis, Papar dan Sabah pada masa hadapan.