KOTA KINABALU: Pembinaan Hospital Gantian Ranau yang kini giat dirancang dijangka bakal menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Pembinaan itu sekali gus meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan rawatan yang lebih moden, selesa dan berkualiti.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. William Gotulis berkata, projek strategik itu merupakan antara keutamaan JKNS yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi memperluaskan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau sejajar dengan pertambahan keperluan penduduk.
Menurut beliau, hospital gantian berkenaan akan dilengkapi kemudahan yang lebih moden dan komprehensif serta mempunyai kapasiti lebih besar bagi menampung peningkatan jumlah pesakit, di samping mengurangkan kesesakan di Hospital Ranau sedia ada.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah memperkukuh keupayaan sistem kesihatan awam di kawasan luar bandar dan pedalaman, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti,” katanya ketika mengetuai rombongan JKNS mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut, Masidi turut dimaklumkan mengenai perkembangan semasa projek Hospital Gantian Ranau termasuk status perancangan dan cadangan tapak pembinaannya.
Beliau menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan dan menyifatkannya sebagai inisiatif penting yang bakal meningkatkan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk daerah itu serta kawasan sekitarnya.
Menurut Masidi, hospital gantian itu juga dijangka merancakkan pembangunan kawasan sekitar menerusi peningkatan infrastruktur, pewujudan peluang pekerjaan dan pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNS atas komitmen berterusan dalam merealisasikan projek berkenaan serta berharap pembinaannya dapat dilaksanakan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat Ranau.






