Isu Ketelusan Meter Elektrik Dibangkitkan dalam Sembang Santai Komuniti Madani Likas

Isu Ketelusan Meter Elektrik Dibangkitkan dalam Sembang Santai Komuniti Madani Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Isu ketelusan dasar pemasangan meter elektrik di luar rumah dibangkitkan penduduk Likas dalam sesi Sembang Santai Komuniti Madani bersama Sabah Electricity (SE) pada Sabtu.

Peserta mempersoalkan syarat berkenaan yang telah lama wujud tetapi hanya dikuatkuasakan kebelakangan ini, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, garis panduan yang kurang jelas menyebabkan permohonannya mendapatkan bekalan elektrik tertangguh sejak Mac, malah beliau diminta menggunakan kontraktor swasta dengan kos sehingga RM7,000 tanpa arahan jelas.

Menjawab perkara itu, Pengurus Kanan Pengalaman Pelanggan dan Jaminan Hasil SE, Christo Dominggo Lobang berkata dasar berkenaan terpakai bagi pembangunan baharu dan premis komersial tertentu bagi meningkatkan ketepatan bil, keselamatan serta membanteras penyambungan haram.

Beliau berkata bagi rumah lama, ia masih dalam fasa peralihan dan SE akan memperkemaskan penyampaian maklumat kepada pengguna.

Christo turut menggalakkan pengguna menggunakan aplikasi mySE+ selaras usaha pendigitalan perkhidmatan utiliti itu.

Mengenai kecurian elektrik di penempatan haram, beliau berkata penguatkuasaan terus dijalankan walaupun berdepan ancaman serta risiko renjatan elektrik, sambil menyeru kerjasama orang ramai.

Beliau berkata tuntutan pampasan bagi kerosakan peralatan elektrik boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen sokongan.

Ketua Komuniti Madani Likas, Tan Peng Juan mencadangkan penggunaan meter pintar diberi keutamaan berbanding pemindahan meter sedia ada, khususnya bagi rumah lama, selain meminta garis panduan lebih jelas.

Program anjuran Jabatan Penerangan di semua 18 kawasan Kota Kinabalu itu menjadi platform penyampaian maklumat kerajaan dan mendapatkan maklum balas rakyat.

Pegawai Penerangan Kota Kinabalu, Malinah Jamarin berkata program itu bersifat tidak berpolitik dan bertujuan merapatkan jurang maklumat.

Ahli Dewan Undangan Negeri, Grace Lee yang mengumpulkan peserta berkata sesi berkenaan memberi ruang terus kepada rakyat menyuarakan kebimbangan serta membantu meningkatkan kefahaman antara pengguna dan pihak berkaitan.