KOTA KINABALU, SABAH – Aktiviti pengedaran serbuk ekstasi dalam bentuk peket minuman ditumpaskan Polis daerah ini dengan tangkapan 3 orang lelaki bersama rampasan 5.7 kilogram dadah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinablu ACP Kasim Muda berkata tangkapan pada Isnin (27 Mei) bermula pada pukul 7.45 malam dengan serbuan keatas sebuah kenderaan berwarna putih di sebuah pangsapuri di sini.
“Serbuan berkenaan berjaya menahan 2 suspek lelaki. Pemeriksaan di dalam kenderaan menemui 1 bungkusan plastik di bahagian ruangan simpan kereta tersebut…
“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan mendedahkan peket plastik berwarna oren hitam bergambarkan karakter kartun Crazy Frog yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ecstacy dan 2 peket plastik kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis ketamin.
“Manakala di ruangan brek tangan telah dijumpai peralatan yang diubahsuai disyaki digunakan untuk menagih dadah,” katanya.
Kasim berkata suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah milik mereka.
Hasil soal siasatan lanjut membawa pasukan narkotik kepada serbuan kedua di tempat parkir kenderaan sebuah bangunan perumahan di Penampang pada kira-kira jam 11.40 malam.
“Seorang lagi suspek lelaki yang sedang memiliki 5 peket plastik berwarna putihh oren bertulis ‘Melon’ yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ecstacy dan serangkai kunci rumah ditahan ketika berjalan kaki.
“Suspek telah memberitahu masih ada menyimpan serbuk ecstacy di rumahnya…
“Pemeriksaan menjumpai 1 bungkusan plastik warna hitam di dalamnya mengandungi 91 peket plastik ‘Melon’ dan (94) peket plastik berwarna putih biru ‘Gui Zhi Xian Sheng’ yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ecstasy,” tambahnya.
Kasim berkata anggaran berat keseluruhan dadah disyaki ecstasy sebanyak 5,780.58 gram.
Ke disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952






