Tangani Kelemahan Sistem SPP – GIP

Tangani Kelemahan Sistem SPP – GIP

0
SHARE

PUTRAJAYA – Persatuan Guru Ikhtisas Pendidikan (GIP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menangani isu kelemahan sistem Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membabitkan pengambilan khas guru secara ‘one-off’.

Presidennya, Fadhli Hassim berkata KPM perlu meneliti semula berkenaan 200 calon GIP yang digagalkan sebelum ini, termasuk calon yang ditemuduga ‘berjaya’ dan ‘tidak berjaya’.

Menurutnya, isu tersebut adalah perkara baharu di mana calon sudah melalui temu duga, mengemukakan dokumen yang diminta dan menerima surat tawaran tetapi kemudiannya digagalkan atau ditarik semula pelantikan.

“GIP berharap Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memandang isu ini lebih serius…

bagi memartabatkan taraf dan mutu pendidikan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Fadhli, persatuan itu mahu penjelasan dan tindakan susulan diadakan bagi menangani isu calon yang tertindas walaupun KPM mengakui berlaku kelemahan dalam sistem pengambilan.

Ujarnya, pihaknya turut menerima aduan yang tular di Facebook menyatakan badan pelantikan itu sudah melakukan kesilapan sejak 2015 apabila ramai calon yang digagalkan tanpa menerima makluman secara hitam putih.

“Kebanyakan calon yang gagal adalah graduan tahun akhir yang layak untuk memohon dan sudah melepasi temu duga serta sudah mengemukakan dokumen yang diminta seperti dokumen sokongan seperti surat senat, transkrip dan surat tamat belajar dari universiti,” jelasnya.

Pada Khamis lalu dalam satu sidang media di Batu Pahat, Johor, Timbalan Menteri Pendidikan (KPM) II, Datuk Mohamad Alamin, berkata KPM mengakui berlaku kelemahan dalam sistem pengambilan khas guru secara ‘one-off’ dan ia perlu diperbaiki.

Beliau dilaporkan berkata, KPM sudah mengadakan perbincangan bersama SPP bagi mengatasi isu berbangkit.