Kampung Teluk Layang Baru Diwartakan Sebagai Tapak Penempatan Kepada Hampir 200 Penduduk...

Kampung Teluk Layang Baru Diwartakan Sebagai Tapak Penempatan Kepada Hampir 200 Penduduk Tempatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kampung Teluk Layang Baru telah diwartakan oleh kerajaan untuk menjadi tapak penempatan kepada hampir 200 penduduk tempatan dari Kampung Teluk Layang yang tidak pernah digazetkan dan tidak pernah dimohon sebagai sebuah perkampungan.

Tanah seluas lebih kurang 12 ekar yang dirizabkan untuk kampung tersebut berada di kawasan berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penduduk kampung yang terlibat kini menduduki kampung yang dikategorikan sebagai kawasan setinggan dan berhampiran dengan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa. 

Pemimpin Pembanguna Masyarakat (PPM) Karambunai, Nerudin Ludah berkata, penduduk kampung itu sudah bersetuju untuk berpindah secara rela hati ke satu kawasan perkampungan yang telah diwartakan.

“Sebelum ini pihak berkuasa telah memberikan penduduk kampung notis untuk berpindah dan setelah perbincangan dilakukan oleh pihak berkenaan, tempoh pemindahan itu dilanjutkan selama enam bulan.

“Setelah berpindah ke kampung yang diwartakan, penduduk akan lebih mudah untuk memohon keperluan asas sesebuah kampung seperti air dan elektrik selain mempunyai akses mudah ke jalan raya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gagasan Rakyat Karambunai, hari ini.

Turut bersama-sama dalam sidang media itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris bersama barisan pimpinan Gagasan Rakyat Karambunai serta penduduk kampung.

Nerudin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai berkata, pihaknya turut menangkis sebarang tohmahan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah dan tidak akan berlaku tidak adil kepada rakyat negeri ini.

“Tapak penduduk yang tinggal sekarang tidak pernah diwartakan sebagai perkampungan, permohonan pun tidak pernah dibuat oleh pemimpin sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, pihak berwajib termasuk Jabatan Tanah, Perancang Bandar dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBBK) kini sedang membuat kajian dan akan membuat persempadanan yang dijangka bermula pada bulan November ini.

“Hanya penduduk warganegara Malaysia dan mempunyai kad pengenalan sahaja dibenarkan untuk tinggal di Kampung Teluk Layang Baru.

“Manakala mereka yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya.

“Bancian yang dilakukan menunjukkan hanya 155 penduduk sahaja yang mempunyai kad pengenalan, 42 penduduk hanya mempunyai sijil lahir dan 15 tidak mempunyai kad pengenalan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Arshad berkata, pihaknya bersyukur kerana isu itu berjaya diselesaikan kerajaan negeri.

“Saya hairan mengapa pemimpin di sini sebelum ini tidak tampil untuk memperjuangkan nasib penduduk kampung ini.

“Sebagai pemimpin di Karambunai, kami berjaya menyelesaikan isu ini. Kawasan baharu itu sesuai dengan aktiviti harian penduduk iaitu berdekatan dengan sungai yang menghubungkan pesisir laut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memantau perkembangan kampung berkenaan khususnya dari segi jalan perhubungan, bekalan elektrik dan air.