Lelaki Ditahan Bersama Rampasan 4,400 Liter Diesel Di Penampang

Lelaki Ditahan Bersama Rampasan 4,400 Liter Diesel Di Penampang

0
SHARE
Kpdn
Muatan tong diesel yang disorok dalam "lori kotak" ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan bersama 4,400 liter minyak diesel disyaki diseleweng dengan anggaran nilai RM 9,460 pada Khamis.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas, kes di sebuah stor di Kg Kibabaig, Penampang itu merupakan serahan tangkapan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu.

“Sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat tangkapan.

“Pemeriksaan awal yang dijalankan menjumpai barang kawalan terbabit disimpan dalam 6 tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang diubahsuai dalam sebuah lori kotak jenama Nissan.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan ke adalah RM58,860 termasuk 2 buah lori kotak, 12 unit tangki IBC dan 1 unit mesin pam yang disyaki digunakan dalam aktiviti penyelewengan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Georgie menjelaskan lelaki yang ditahan dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) Akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” tambahnya.