472 Ahli Majlis Dilantik Terajui 25 PBT Di Sabah

472 Ahli Majlis Dilantik Terajui 25 PBT Di Sabah

0
SHARE
Kktp
Joachim bergambar kenangan dengan wakil-wakil dari setiap PBT dalam majlis terbabit ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 472 Ahli Majlis telah dilantik untuk menerajui 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah bagi sesi 2023 hingga 2025.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata separuh daripada 472 ahli terbabit merupakan lantikan baharu manakala selebihnya lantikan semula,.

Katanya, beliau berharap pelantikan mereka akan dapat melancarkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan di PBT masing-masing agar lebih cekap, berkualiti dan telus.

“Seorang Ahli Majlis yang dilantik memainkan peranan sebagai penghubung di dalam hubungan di antara kerajaan dengan rakyat melalui bentuk kerajaan ketiga iaitu kerajaan tempatan.

“Mereka mempunyai kedudukan untuk membantu PBT dalam membuat dasar, merancang, mengawasi pelaksanaan program-program yang dilaksanakan serta menyampaikan pandangan dan nasihat dalam beberapa jawatankuasa di peringkat PBT sekaligus menjadi rujukan mengenai dasar serta matlamat kerajaan kepada rakyat.

“Namun begitu, Ahli Majlis juga mempunyai had dan bidang kuasanya yang tersendiri di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1961. Oleh itu, bertindaklah atas batas dan kapasiti anda semua sebagai seorang Ahli Majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Seminar Mengenai Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sabah Lantikan Tahun 2023 Hingga Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Joachim dalam pada itu mengingatkan Ahli Majlis untuk memahami, menghayati dan melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka.

Katanya, antara peranan dan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap Ahli Majlis di daerah masing-masing adalah tertakluk kepada beberapa perkara.

Mengulas lanjut, antaranya adalah sebagai penyampai dan jurucakap yang mana penglibatan mereka adalah untuk mewakili kepentingan orang ramai serta masyarakat setempat.

“Selain itu, Ahli Majlis juga membantu dalam membentuk dasar dan hala tuju PBT. Pada kebiasaan dasar yang dibuat oleh PBT mestilah dikaitkan dengan kehendak dan matlamat dasar negara.

“Dasar merangkumi aspek yang luas. Sesuatu dasar yang diperkenalkan perlu mengambil kira pandangan rakyat agar ianya tidak menimbulkan rungutan rakyat di masa akan datang apabila dasar tersebut dilaksanakan.

Bagi mencapai tujuan ini, ahli majlis hendaklah mengetahui dasar kerajaan supaya dasar PBT tidak bercanggah dengan dasar kerajaan pusat mahupun negeri, selain memahami keperluan semasa rakyat. Ahli Majlis berperanan untuk memberi kefahaman dan penjelasan berhubung dasar-dasar baharu,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr Jamili Nais dan Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong.