Gelvia, Juara UNK 2026 Dipilih Sebagai Selebriti Khas Shopee

Gelvia, Juara UNK 2026 Dipilih Sebagai Selebriti Khas Shopee

0
SHARE

PUTRAJAYA: Juara Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026, Gelvia Vanessa Jenny, dipilih sebagai Selebriti Khas Shopee sempena Shopee Seller Summit 2026, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap potensi dan keupayaan anak muda Sabah di pentas nasional.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemilihan anak jati Kampung Gana, Papar itu merupakan satu penghargaan yang membanggakan bukan sahaja kepada Gelvia, malah kepada seluruh rakyat Sabah.

Tahniah kepada Gelvia Vanessa Jenny, anak Kampung Gana, Papar yang dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, atas pemilihannya sebagai Selebriti Khas Shopee sempena Shopee Seller Summit 2026. Terima kasih kepada Shopee Malaysia atas penghargaan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Armizan, Gelvia yang berusia 24 tahun merupakan anak ketiga daripada lapan beradik dan kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Beliau berkata, kejayaan Gelvia membuktikan kecemerlangan seseorang bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, malah turut terserlah menerusi keperibadian, keyakinan diri serta penghargaan terhadap warisan budaya.

“Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan yang mengangkat kecantikan paras rupa, sebaliknya merupakan platform yang menonjolkan wanita Sabah yang berilmu, bijaksana, berpekerti mulia serta mampu menjadi duta budaya dan warisan negeri. Saya percaya nilai-nilai inilah yang turut menjadikan Gelvia sebagai inspirasi kepada generasi muda,” katanya.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Shopee Malaysia atas pengiktirafan yang diberikan dan berharap lebih ramai anak Sabah terus diberi peluang mengetengahkan bakat serta potensi mereka di pelbagai platform nasional.

“Semoga lebih ramai anak Sabah terus diberi peluang mengetengahkan bakat dan potensi mereka di pentas nasional. Terus maju jaya, Gelvia,” katanya.