KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan rakan serumah yang dipercayai berlaku selepas pertengkaran ketika mabuk di kawasan tapak pembinaan di Iramanis, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 1.40 pagi sebelum laporan dibuat pada jam 2.23 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa, lelaki warga asing berusia 34 tahun, dipercayai keluar bersama suspek pada sebelah pagi untuk minum minuman keras di Penampang sebelum pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam.
“Pertengkaran dipercayai berlaku akibat salah faham ketika kedua-duanya mabuk. Mangsa disyaki memukul suspek menggunakan kayu sebelum suspek bertindak menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri, manakala mangsa ditemui di dalam lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan forensik telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek serta merampas senjata yang digunakan sedang giat dijalankan,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.






