Lelaki Indonesia Maut Rentung Dalam Kebakaran Rumah Dua Tingkat di Beluran

Lelaki Indonesia Maut Rentung Dalam Kebakaran Rumah Dua Tingkat di Beluran

0
SHARE

BELURAN: Seorang lelaki warga Indonesia maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bayu Permai, di sini, pagi Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran tiba di lokasi kira-kira 48 minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berukuran 20×30 kaki yang musnah sepenuhnya.

“Seorang mangsa lelaki berusia 49 tahun ditemui rentung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu pam angkut dengan satu aliran sepanjang 200 kaki serta dua pancutan air daripada sumber terbuka iaitu kolam berhampiran.

Tambahnya, pasukan bomba turut berdepan kesukaran untuk memasuki lokasi kejadian berikutan ketiadaan laluan akses yang sesuai.

Operasi berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya 10 minit kemudian selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya di kawasan berkenaan.