HQE Mohon Orang Ramai Kesan Waris Jenazah Lelaki Tidak Dituntut

HQE Mohon Orang Ramai Kesan Waris Jenazah Lelaki Tidak Dituntut

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan waris kepada seorang lelaki yang meninggal dunia pada 11 Jun lalu dan sehingga kini masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Hospital Queen Elizabeth memaklumkan jenazah berkenaan dikenal pasti sebagai Lai Vui Hiung, 50, warganegara Malaysia berketurunan Cina dan beragama Buddha.

Menurut kenyataan itu, alamat terakhir mendiang direkodkan di MDLB 918, Lorong 1, Taman Pak Tak, Batu 7, 90702 Sandakan, Sabah.

“Pihak Hospital Queen Elizabeth memohon kerjasama orang awam bagi membantu mengesan waris jenazah lelaki yang masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik, HQE.

Sehubungan itu, ahli keluarga, waris atau orang ramai yang mengenali mendiang dimohon tampil atau menghubungi Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth dengan segera bagi urusan tuntutan jenazah dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Hospital memaklumkan mendiang telah dimasukkan ke Jabatan Perubatan Kecemasan HQE pada 9 Jun 2026 sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 Jun 2026 jam 8.21 malam.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini jenazah masih belum dituntut oleh waris, manakala laporan polis berhubung perkara berkenaan telah dibuat pada 23 Jun 2026.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris mendiang diminta menghubungi Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di talian 088-517555 sambungan 8285 dengan kadar segera bagi membantu proses tuntutan jenazah.