Hentikan Perbalahan Politik, Ahli-Ahli Dewan Rakyat Perlu Fokus Dan Beri Sokongan Belanjawan...

Hentikan Perbalahan Politik, Ahli-Ahli Dewan Rakyat Perlu Fokus Dan Beri Sokongan Belanjawan 2021 – YDP Agong

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberhentikan segera segala perbalahan politik supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan demi kesejahteraan kebajikan rakyat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah sebagai peringatan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut dengan ancaman wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan Istana Negara hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19.

Oleh itu, Al-Sultan Abdullah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Ahmad Fadli berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat prakabinet di Istana Negara, pagi tadi.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih sejam dari jam 8 pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November nanti.

Katanya, baginda menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini…

“Mesyuarat prakabinet antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan,” katanya lagi.

Sumber foto dipetik daripada kenyataan Istana Negara hari ini (28 Oktober 2020)..