
KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Penukaran Tenaga Haba Lautan 2024 atau dikenali sebagai Ocean Thermal Energy Conversion atau singkatannya OTEC, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini akan memberi laluan bagi pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga boleh baharu yang baru dan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Ekonomi Biru.
“Enakmen ini akan membolehkan Sabah melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commission of Sabah – ECoS) mengawal aktiviti penerokaan, pembinaan, dan operasi fasiliti OTEC.
“Teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara air permukaan yang panas dan air laut dalam yang sejuk untuk menghasilkan tenaga elektrik secara mesra alam,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata Sabah mempunyai sumber laut luas dan ciri-ciri yang sesuai menjadikannya wilayah utama untuk meneroka OTEC.
“Kajian menunjukkan bahawa kawasan tertentu di negeri Sabah berpotensi menghasilkan sehingga 20,000MW kuasa elektrik, yang boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen hijau, iaitu suatu sumber tenaga yang mendapat permintaan tinggi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar.
“Industri ini akan mencipta pekerjaan dan menarik pelaburan asing ke Sabah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata produk sekunder seperti produk marikultur dan air minuman akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar
tempatan.
“Sebagai perintis untuk pembangunan OTEC di rantau ASEAN, kita juga dapat menarik golongan profesional terlatih dan menggalakkan inovasi untuk memacu pembangunan di negeri Sabah,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata bahawa pembangunan teknologi baru ini selaras dengan pelan induk tenaga iaitu Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE RAMP 2040) yang dilancarkan pada bulan
September tahun lepas.
Ia bagi meningkatkan campuran tenaga boleh baharu serta mengenalpasti sumber tenaga dan teknologi baru bagi keperluan jangka masa panjang.
“ECoS, sebagai badan kawal selia bagi sektor tenaga mengalu-alukan cadangan bagi menjalankan penerokaan dan kajian kebolehlaksanaan demi memperolehi pembangunan terbaik bagi negeri Sabah,” tambahnya.
Dua SABAH turut meluluskan dua pindaan RUU melibatkan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004.





