Guarana Masih Haram di Sabah, Dakwaan Jeffrey Kitingan Disangkal

Guarana Masih Haram di Sabah, Dakwaan Jeffrey Kitingan Disangkal

0
SHARE

TAMBUNAN, SABAH – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menegaskan bahawa pengimportan, penanaman, pembiakan atau penyelidikan tanaman guarana di negeri ini tidak dibenarkan, bertentangan dengan kenyataan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan minggu ini bahawa guarana kini sah ditanam di Sabah.

Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar, berkata, setakat ini, Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan pengimportan bahan tanaman guarana.

“Sebarang aktiviti penanaman atau pengimportan tanpa kebenaran adalah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

“Tindakan ini penting untuk melindungi industri pertanian, keselamatan biodiversiti, dan keterjaminan makanan di Sabah, serta mengelak tindakan perundangan daripada Brazil,” katanya.

Bagaimanapun, Jeffrey dalam satu majlis khas sebelum ini mendakwa bahawa guarana kini sah ditanam di Sabah dan bebas penyakit.

Datuk Dr. Jeffrey Kitingan…

“Kami telah menjalankan kajian menyeluruh dan mendapati guarana tidak membawa sebarang ancaman penyakit. Saya galakkan semua rakyat Malaysia yang berminat untuk menanam guarana,” katanya.

Jeffrey turut menegaskan bahawa guarana yang ditanam di Sabah menggunakan benih tempatan yang telah dikarantin selama dua tahun dan tidak bergantung lagi kepada benih dari Brazil.

“Sebagai pengeluar baharu, kita kini mempunyai benih guarana yang diuji dan disahkan selamat,” dakwanya.