Maritim Malaysia Gagalkan Tujuh Vesel Nelayan Asing Ceroboh Perairan Kudat

Maritim Malaysia Gagalkan Tujuh Vesel Nelayan Asing Ceroboh Perairan Kudat

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menggagalkan cubaan tujuh vesel nelayan asing (VNA) warga Filipina menceroboh perairan negara di sekitar Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan, awal hari Ini.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata pencerobohan dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dua bot ronda digerakkan ke lokasi.

“Kesemua vesel berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati 21 individu termasuk tekong berumur antara 17 hingga 60 tahun berada di atas vesel terbabit,” katanya.

Beliau berkata semua vesel bersama kru diiring ke Pusat Tahanan Vesel, Sabah Port Kudat untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM100,000.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasbullah menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan dan akan terus mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.