BEIJING, CHINA – Satu antibodi baharu yang telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik di China dikatakan mampu membunuh varian Omicron COVID-19.
Menurut laporan berita RT, penyelidik dari China itu mendakwa bahawa antibodi yang mereka bangunkan menerusi proses sintesis antara dua komponen sel antibodi asal daripada sel imunisasi manusia boleh membunuh varian tersebut.
Mereka menjelaskan bahawa komponen asal sel itu tidak memberi kesan terhadap varian Omicron jika ianya bersendirian, sebaliknya ia akan meneutralkan virus Omicron apabila digabungkan.
Penemuan mengejut oleh pasukan penyelidik dari Universiti Fudan, Shanghai itu dikatakan sebagai ‘anugerah Tuhan’ dan ianya meletakkan manusia selangkah di hadapan dalam usaha memerangi COVID-19.
Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Huang Jinghe, berjaya membangunkan lapan antibodi yang disintesis dalam tempoh yang agak singkat.
“Ini adalah satu kejayaan yang mengejutkan kerana penghasilan antibodi tersebut pada mulanya tidak bertujuan untuk merawat virus Covid-19 dan dibangunkan untuk penyakit berjangkit yang lain…
“Penemuan ni bakal memberikan kelebihan kepada manusia bagi mengatasai pandemik yang sedang berleluasa di seluruh dunia,” jelas Huang.
Katanya, antibodi khas itu juga mampu meneutralkan varian Delta iaitu mutasi Covid-19 terdahulu dan menangani Sindrom Pernafasan Akut Teruk bagi mengehadkan keupayaan virus untuk merebak.
Pasukan itu menggariskan kerja dan penemuan mereka dalam kertas akademik bertajuk ‘Combating the Sars-CoV-2 Omicron variant with non-Omicron neutralizing antibodies’
Bagaimanapun, kajian lebih lanjut diperlukan oleh penyelidikan tersebut serta pengesahan oleh ahli-ahli akademik lain.





