Kenaikan Had Kuota Subsidi Petrol, Diesel Bukan ‘Gula-Gula Pilihan Raya’ – Victor

Kenaikan Had Kuota Subsidi Petrol, Diesel Bukan ‘Gula-Gula Pilihan Raya’ – Victor

0
SHARE

TAMBUNAN: Kenaikan semula had kelayakan subsidi petrol RON95 dan diesel di bawah Program BUDI MADANI bukan ‘gula-gula pilihan raya’, sebaliknya langkah kerajaan membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, langkah itu memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk urusan harian.

Menurutnya, peningkatan kuota berkenaan amat relevan ketika harga minyak dunia berdepan ketidaktentuan susulan konflik dan ketegangan di Asia Barat.

Bagi saya, kenaikan kuota petrol dan terutamanya diesel amat membantu, khususnya rakyat Sabah yang sebahagian besarnya menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan keadaan geografi yang mencabar di negeri ini.

“Pengumuman daripada Perdana Menteri ini jelas bukan ‘gula-gula pilihan raya’, sebaliknya salah satu inisiatif untuk meringankan beban rakyat,” katanya selepas merasmikan Hari Malaysia Peringkat Mukim Nambayan, di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemulihan had kelayakan asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

Kelayakan BUDI Diesel pula dinaikkan daripada 300 kepada 400 liter sebulan bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, berkuat kuasa 1 September.

Victor berkata, pengumuman berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut politik, sebaliknya dinilai berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat.

“Memang rakyat memerlukan bantuan ini. Ia realiti kehidupan dan jangan kita politikkan apa saja bantuan daripada kerajaan kepada rakyat hanya kerana sudah dekat pilihan raya, sedangkan PRU16 pun lama lagi, tahun depan,” katanya.

Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin bantuan subsidi bahan api itu akan diteruskan sekiranya masih diperlukan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Katanya, perkara paling penting adalah memastikan pelaksanaan subsidi dilakukan secara berkesan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Terdahulu, Victor meluluskan peruntukan bagi pembelian 200 kerusi plastik, dua unit penghawa dingin berkapasiti dua kuasa kuda (HP) dan enam set lampu solar untuk kegunaan Perpustakaan Desa serta Dewan Serbaguna Kampung Nambayan.