Kursus Dimsum dan Kerepek Bantu Wanita Tambah Pendapatan Keluarga

Kursus Dimsum dan Kerepek Bantu Wanita Tambah Pendapatan Keluarga

0
SHARE

BEAUFORT: Kursus Membuat Beraneka Jenis Dimsum dan Pelbagai Jenis Kerepek 40 orang peserta diharap dapat membantu peserta menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk menjana pendapatan dan memperbaiki ekonomi keluarga.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, beliau berharap peserta bukan sahaja mempelajari cara menghasilkan dimsum dan kerepek, tetapi turut mempraktikkan ilmu tersebut selepas tamat kursus.

“Apabila mereka sudah mahir, mereka boleh menghasilkan produk sendiri. Pada mulanya, produk itu boleh digunakan untuk keperluan keluarga. Selepas itu, jika ada kemampuan, mereka boleh mula memasarkannya untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Sijil kursus berkenaan, anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dengan kerjasama SNS Enterprise di Kilang Mee Aniq, Kampung Lumat, Beaufort, hari ini.

Menurut ADUN Lumadan itu, peserta yang mahu mengembangkan perniagaan juga boleh melihat kemudahan pembiayaan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Agrobank, TEKUN Nasional dan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

“Saya berharap mereka dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan mengembangkan kemahiran yang sudah dipelajari sehingga menjadi satu produk yang mempunyai pasaran,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pensijilan halal bagi usahawan yang mahu membawa produk mereka ke pasaran lebih luas.

“Kalau kita mahu mengembangkan perniagaan, kita perlu melihat lebih jauh. Bukan setakat untuk kegunaan keluarga atau perniagaan kecil-kecilan, tetapi kita mahu mereka menjadi usahawan yang boleh memasarkan produk bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh Malaysia dan, jika berkemampuan, ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan dan bimbingan berkaitan pensijilan halal, termasuk melalui Hab Halal MUIS, wajar dimanfaatkan oleh usahawan yang mahu mengembangkan perniagaan mereka.