KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A mencatat kemajuan fizikal sebanyak 89.54 peratus setakat 25 September lalu dengan berlaku sedikit kelewataan dimana ia sepatutnya siap 96.23 peratus seperti dijadualkan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, empat daripada 15 pakej kerja Fasa 1A telah siap sepenuhnya, manakala baki 11 pakej masih dalam pelaksanaan.
Katanya, empat pakej yang siap ialah WP27 Kampung Lot M–Sandakan Mile 32 pada 2023, WP05 Papar–Donggongon dan WP21 Lahad Datu Bypass pada 2024 serta WP15 Tawau–Semporna pada 2025.
“Laporan Audit menyatakan bahawa peratus penyiapan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 adalah sebanyak 11.4 peratus, iaitu berdasarkan bilangan empat pakej kerja yang telah siap sepenuhnya berbanding keseluruhan 35 pakej kerja pada tarikh pengauditan.
“Walau bagaimanapun, angka tersebut tidak menggambarkan tahap kemajuan fizikal sebenar projek di tapak, memandangkan pengiraan tersebut hanya mengambil kira bilangan pakej yang telah siap sepenuhnya tanpa mencerminkan kemajuan kerja bagi pakej-pakej lain yang masih dalam pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Joachim menjelaskan, angka 11.4 peratus merujuk kepada kadar penyiapan bilangan pakej kerja keseluruhan Fasa 1, manakala 89.54 peratus mencerminkan kemajuan fizikal sebenar Fasa 1A yang menggunakan kaedah pengukuran berbeza.
Menurutnya, keseluruhan Fasa 1 melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer dengan kos RM24.859 bilion, manakala RM11.792 bilion atau 47.37 peratus telah dibelanjakan setakat 30 September lalu.
Perbelanjaan itu merangkumi pembayaran kepada kontraktor dan perunding, pampasan tanah, pengalihan utiliti serta bayaran kepada pihak Project Delivery Partner (PDP) sebelum penamatan perjanjian berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, WP09 mencatat kemajuan fizikal sebenar sebanyak 40.83 peratus berbanding 38.87 peratus yang dijadualkan, manakala Fasa 1B mencapai 25.55 peratus berbanding sasaran 24.77 peratus.
Mengulas kelewatan projek, Joachim berkata, antara cabaran utama ialah perubahan model pelaksanaan daripada PDP kepada kaedah konvensional pada September 2019, gangguan tenaga kerja dan bekalan bahan binaan ketika pandemik COVID-19, pengambilan tanah serta pengalihan utiliti.
Katanya, kerja pelebaran jalan sedia ada yang perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan kelancaran trafik turut mempengaruhi kemajuan pembinaan.
Bagaimanapun, penyediaan tapak bebas halangan bagi Fasa 1A telah mencapai 99.85 peratus setakat 25 September lalu, dengan pemantauan prestasi kontraktor dan pelaksanaan pelan pemulihan kerja terus dipergiatkan bagi mempercepatkan penyiapan baki pakej.
Joachim turut menjelaskan bahawa Pan Borneo Sabah merupakan projek jalan Persekutuan yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU) bersama JKR Sabah menerima teguran audit sebagai asas memperkukuh tadbir urus serta pengurusan kontrak dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan projek berkenaan.






