Operasi Bersepadu ESSCOM di Sandakan Tahan 14 Individu, Rampas Barangan Kawalan

Operasi Bersepadu ESSCOM di Sandakan Tahan 14 Individu, Rampas Barangan Kawalan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Seramai 13 lelaki dan wanita dewasa membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki tempatan ditahan kerana positif dadah jenis syabu dalam Operasi Bersepadu Daerah Sandakan pada Khamis.

Operasi yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan itu tertumpu di kawasan bandar, penempatan setinggan dan laluan ketirisan berhampiran sempadan darat serta perairan daerah ini bagi mengekang penyusupan PATI, penyeludupan dan kesalahan lain.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata operasi itu turut menyaksikan pemotongan sambungan elektrik haram membabitkan kerugian dianggarkan RM310,000 dan sambungan paip haram bernilai kira-kira RM27,215.

“Operasi ini bertujuan menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di ESS Zone, selain membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan serta mengekang penyusupan PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sandakan mengeluarkan 137 saman trafik, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merampas barangan kawalan bernilai RM5,316 serta mengeluarkan lima kompaun.

Majlis Perbandaran Sandakan turut merampas peralatan penjaja tidak berlesen dan rokok tidak bercukai untuk tindakan lanjut.

Victor berkata ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu di seluruh ESS Zone dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM.