TENOM: Tiga buah kenderaan dan enam motosikal musnah dalam kebakaran sebuah rumah di kawasan Skim LIGS Laut Seberang, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.37 pagi itu, sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 40×30 kaki turut terbakar sepenuhnya, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 3.02 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar ialah dua buah kenderaan yang musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus pada bahagian bumper hadapan. Enam buah motosikal juga terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.33 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.18 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE).






