DARI KENINGAU KE BANGKOK: DR SIRHAJWAN HARUMKAN NAMA SABAH DI PERSADA ANTARABANGSA

DARI KENINGAU KE BANGKOK: DR SIRHAJWAN HARUMKAN NAMA SABAH DI PERSADA ANTARABANGSA

0
SHARE

KENINGAU, SABAH – Pensyarah Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Sirhajwan Idek sekali lagi mengharumkan nama Sabah apabila dipilih sebagai salah seorang penerima Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 dalam kategori pendidikan vokasional daripada Chulalongkorn University, Thailand.

Pengiktirafan berprestij itu dijadual disampaikan pada 29 Mei ini di Fakulti Pendidikan universiti berkenaan di Bangkok, Thailand yang menghimpunkan tokoh pendidikan dari pelbagai peringkat.

Anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang pendidikan vokasional, malah turut melibatkan kategori lain termasuk pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah antarabangsa serta kepimpinan pendidikan.

Dr. Sirhajwan dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga masyarakat.

Di bawah pendekatan tersebut, pelajar KV Keningau berjaya melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi melibatkan khidmat masyarakat, penyelidikan komuniti dan program advokasi yang menerima pengiktirafan daripada beberapa organisasi termasuk Impact Malaysia, CHANGE, Arus Academy dan Digital Promise.

Sebagai Ketua Penyelidikan dan Inovasi KV Keningau, beliau turut membimbing pelbagai projek pelajar sehingga berjaya memperoleh geran dan bantuan bagi menjayakan program komuniti.

Antara pencapaian yang direkodkan termasuk projek teknologi kimpalan yang berjaya memperoleh dana RM15,000 bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan sekolah.

Menurut Dr. Sirhajwan, pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti bukan sekadar memberi pengalaman kepada pelajar, tetapi turut membantu membentuk nilai kemanusiaan, meningkatkan kecerdasan emosi dan memupuk semangat tanggungjawab sosial.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kejayaan membanggakan bukan sahaja kepada institusi itu, malah kepada Sabah secara keseluruhannya.

Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa anak Sabah mampu bersaing dan mencipta nama di pentas antarabangsa melalui kecemerlangan pendidikan, inovasi dan sumbangan kepada masyarakat.

— SabahNews