KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Fujifilm Malaysia menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penubuhan Advanced HUMS Endoscopic Training Centre di Hospital UMS (HUMS).
Pusat itu bertujuan memperkukuh latihan endoskopi, memperluas penyelidikan, serta menjadi platform bengkel dan perkongsian ilmu antara tenaga perubatan, akademik dan industri.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kerjasama itu penting dalam memperkukuh pendidikan perubatan selaras perkembangan teknologi kesihatan global.
“Pusat ini akan memperkasakan latihan klinikal khususnya endoskopi melalui sokongan kepakaran industri dan teknologi terkini serta menjadi platform utama perkongsian ilmu, pembangunan profesional dan penyelidikan bersama,” katanya.
Kerjasama itu turut membuka peluang latihan luar negara serta pertukaran kepakaran antarabangsa.
HUMS menerima geran pendidikan RM40,000, manakala Fujifilm Malaysia akan meminjamkan peralatan Fujifilm 7000s Endoscopy Tower untuk tujuan pengajaran klinikal.
Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragane berkata pusat itu akan menyokong HUMS sebagai hab kecemerlangan endoskopi di Sabah dengan fokus kepada latihan, bengkel dan penyelidikan.






