Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Diminta Jelaskan Kejayaan Inisiatif Kerajaan Kepada Rakyat

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Diminta Jelaskan Kejayaan Inisiatif Kerajaan Kepada Rakyat

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (tengah) semasa merasmikan Program Penerangan Isu-Isu Semasa anjuran Biro Penerangan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua-ketua penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di peringkat bahagian diminta menjelaskan semua kejayaan inisiatif kerajaan hari ini yang telah dicapai kepada rakyat Sabah.

Perkara itu antara isu yang ditekankan oleh Presiden Parti Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Program Penerangan Isu-Isu Semasa anjuran Biro Penerangan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata program itu adalah untuk ketua-ketua penerangan memperkemaskan jentera parti itu kerana tempoh kerajaan yang ada tinggal sehingga Oktober 2025.

“Jadi ini perkara biasa kita panggil kursus untuk memastikan semua jentera kita lebih teratur untuk menghadapi pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Program ini soal penerangan, kita minta kepada ketua-ketua penerangan untuk menjelaskan kepada rakyat. Ini kerana banyak kejayaan inisiatif kita belum dapat disampaikan kepada peringkat bawah, ada yang tidak mengetahui pun, jadi inilah tanggungjawab mereka.

“Mereka mesti menjelaskan kepada rakyat apa yang sudah dibantu kepada rakyat, kepada orang miskin dan sebagainya, bagaimana nilai pelaburan yang masuk sejak kita memerintah serta peluang-peluang pekerjaan yang beribu-ribu sudah rakyat kita dapat dan sebagainya, ini penting,” tegasnya.

Selain itu beliau turut meminta agar ketua-ketua penerangan parti dapat menangkis segala fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan hari ini.

“Mereka juga perlu menangkis fitnah-fitnah dan pembohongan-pembohongan yang tersebar di media sosial, itu perlu juga ditangani.

“Kalau tidak, nanti rakyat percaya sedangkan ia tidak betul, jadi itu tugas ketua penerangan di semua peringkat,” katanya.