KOTA MARUDU: Penyertaan ramai muka baharu dalam pertandingan pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) di Matunggong membuktikan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus relevan serta mendapat sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Exco Pemuda Pusat PBS, Alexyus Matius berkata, perkembangan itu amat membanggakan apabila semakin ramai belia tampil ke hadapan menawarkan diri sebagai pemimpin baharu dalam parti.
“Saya amat berbangga melihat keberanian generasi muda tampil ke hadapan menawarkan diri sebagai pemimpin baharu dalam parti. Perkembangan ini menunjukkan semangat perjuangan PBS terus hidup dan mendapat tempat dalam kalangan belia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pemilihan sayap Wanita turut menyaksikan kemunculan ramai muka baharu yang bersedia memikul tanggungjawab memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi.
Katanya, situasi itu merupakan petanda positif bahawa PBS terus berkembang dengan penyertaan generasi baharu yang bersemangat.
Sehubungan itu, beliau berharap pemilihan AJK Pemuda dan Wanita kali ini dapat dilaksanakan secara sihat, matang serta dalam semangat kekeluargaan.
“Setiap calon harus menampilkan kekuatan, idea serta kemampuan masing-masing bagi meyakinkan perwakilan bahawa mereka layak dipilih,” katanya.
Dalam pada itu, Alexyus turut menggalakkan golongan belia di kawasan lain supaya merebut peluang untuk terlibat dalam proses pemilihan parti.
Beliau menegaskan penglibatan aktif generasi muda amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti terus kukuh.
“Kepada semua yang bertanding, sekiranya keputusan tidak memihak kepada anda, jadikan ia sebagai pengalaman berharga dalam perjalanan kepimpinan. Yang penting, kita kekal sabar, setia dan bersatu demi memperkukuhkan perjuangan Parti Bersatu Sabah,” katanya.






