KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global melonjak ketara selepas Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan terhadap trafik maritim keluar masuk pelabuhan Iran susulan kegagalan rundingan damai dengan Teheran.
Memetik laporan Awani, niaga hadapan minyak mentah AS bagi penghantaran Mei meningkat hampir lapan peratus kepada AS$104.20 (RM413.15) setong, manakala minyak mentah penanda aras Brent bagi Jun naik kira-kira tujuh peratus kepada AS$101.86 (RM403.87) setong.
Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan sekatan akan dikuatkuasakan ke atas semua kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran bermula jam 10 pagi (ET) pada Isnin, namun tidak melibatkan kapal yang berlayar ke atau dari pelabuhan bukan Iran.
Sekatan itu meliputi kapal dari semua negara serta semua pelabuhan Iran di sepanjang Teluk Arab dan Teluk Oman.
Terdahulu, Presiden AS Donald Trump dilaporkan berkata Tentera Laut negara itu akan menyekat perkapalan di Selat Hormuz selepas rundingan antara Washington dan Teheran di Pakistan gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik.
Tentera Laut AS turut diarahkan mengenal pasti dan menghalang kapal di perairan antarabangsa yang membayar tol kepada Iran untuk transit melalui selat berkenaan, yang merupakan laluan strategik menghubungkan pengeluar minyak Asia Barat ke pasaran tenaga global.
Selat Hormuz mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, namun trafik kapal tangki dilaporkan merosot ketara susulan peningkatan ketegangan ketenteraan serta kebimbangan terhadap kemungkinan serangan Iran.
Gangguan tersebut disifatkan sebagai kejutan bekalan minyak terbesar dalam sejarah selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa masih belum jelas sama ada AS akan menyambung semula serangan udara ke atas Iran, meskipun sebelum ini Washington bersetuju kepada gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran kepada kebenaran Teheran membenarkan kapal melalui selat berkenaan.
Pegawai Iran pula menegaskan laluan selamat di Selat Hormuz adalah tertakluk kepada kelulusan Teheran, manakala penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Akbar Velayati, menyatakan kawalan ke atas selat itu kekal di tangan Iran.
Data LSEG menunjukkan hanya tiga kapal supertanker melalui Selat Hormuz pada Sabtu, jauh merosot berbanding lebih 100 kapal sehari sebelum konflik, dengan setiap kapal mampu membawa sehingga dua juta tong minyak mentah.
Sementara itu, Naib Presiden AS JD Vance yang mengetuai delegasi rundingan berkata kegagalan rundingan berpunca daripada ketiadaan komitmen jelas Iran untuk menahan diri daripada membangunkan senjata nuklear.
Dalam perkembangan sama, Speaker Parlimen Iran Mohammad-Bagher Ghalibaf menyatakan AS gagal meraih kepercayaan delegasi Iran dalam pusingan rundingan terbaharu itu.






