JPKN Berubah Wajah, Perkukuh Ekosistem Digital dan Inovasi Sabah

JPKN Berubah Wajah, Perkukuh Ekosistem Digital dan Inovasi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penjenamaan semula Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) kepada Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem digital serta mempercepat agenda inovasi teknologi di Sabah.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, langkah itu selaras dengan keperluan semasa yang menyaksikan dunia bergerak pantas ke arah ekonomi digital dan masyarakat berasaskan data.

Menurutnya, penjenamaan semula sempena ulang tahun ke-50 penubuhan jabatan itu turut mencerminkan peranan baharu sebagai peneraju transformasi digital kerajaan negeri.

Sepanjang lima dekad, jabatan ini telah menjadi tulang belakang kepada pembangunan sistem dan teknologi maklumat kerajaan negeri, bermula daripada era pengkomputeran asas sehingga kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran nama baharu jabatan itu dalam satu majlis pada Khamis.

Tambah beliau, usaha berterusan jabatan berkenaan telah membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong pelbagai agenda pembangunan negeri.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa teknologi digital dan inovasi merupakan antara enjin utama dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan mempercepatkan pembangunan negeri merangkumi sektor ekonomi digital, pendidikan, industri kreatif, perkhidmatan awam serta pembangunan masyarakat.

“Jabatan ini akan memainkan peranan strategik dalam mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan kerajaan, memperkukuh ekosistem inovasi negeri serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, James turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan terdahulu, pegawai dan kakitangan jabatan atas sumbangan serta komitmen sepanjang 50 tahun penubuhannya.

“Dengan pengalaman dan legasi yang kukuh, saya yakin jabatan ini mampu terus memacu perubahan lebih besar serta memperkukuh keupayaan digital kerajaan demi manfaat rakyat Sabah,” katanya.