Lampu 1924 Kembalikan Nostalgia Pra Merdeka

Lampu 1924 Kembalikan Nostalgia Pra Merdeka

0
SHARE
Kmjg
Lampu rumah yang punya nilai sentimental dalam hidu Sabturani ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAWAU, SABAH – Lampu rumah buatan tahun 1924 mengembalikan suasana negara sebelum merdeka.

Lampu tersebut masih tersimpan dengan baik di rumah pengumpul barang antik, Sabturani Angsa, 76, yang berasal dari Kampung Batu Payung.

“Lampu tersebut diberikan oleh sepupu saya yang masa itu bekerja di lampu merah, apabila pencen, dia bawa lampu itu untuk kegunaannya sehinggalah diberikan kepada saya sekitar tahun 1958.

“Apabila saya terpandang lampu ini, ia mengingatkan saya kepada suasana dan keadaan negara kita sebelum masuk Malaysia.

“Saya masih ingat macam mana kita merdeka, masa tu ekonomi masih tidak stabil, untuk makan pun susah hanya bergantung dengan apa yang ditanam, disebabkan itulah saya yang masih belia masa itu, ketika ditanya mahu masuk Malaysia, terus saya jawab ya.

“Pada masa itu juga, bermacam kuasa yang mahu menuntut Sabah antaranya negara Filipina dan Indonesia tetapi yang paling kami risau ialah penyebaran kefahaman komunis yang mula besar.

“Biarpun saya tidak terlibat secara langsung dengan kemerdekaan Sabah, saya bersyukur dengan apa yang kita capai sekarang kerana, pejuang-pejuang untuk kemerdekaan Sabah berkerah tenaga menentang apa saja pemberontakan yang terjadi masa itu, “katanya ketika ditemui media di kediamannya di USBA, Kampung Batu Payung yang menjadi Persinggahan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada Sabtu.

Selain lampu, piring hitam turut memberi nilai sentimental yang sama kepada beliau dan berpesan kepada generasi muda agar menghargai kemerdekaan.

“Pesan saya dengan anak-anak, jagalah kemerdekaan ini jangan sampai kita dijajah kembali, sentiasa lah menghormati orang lama dan orang baru sebagai pembantu dan penjaga kemerdekaan yang telah dicapai.

“Kepada generasi muda, jagalah keamanan negara kita kerana ianya sangat bernilai, sumber makanan kita hari ini tergantung kepada pasaraya tetapi bila terjadi sesuatu kepada negara, pasaraya tidak akan buka, jadi kemungkinan kita tidak mati ditembak tapi mati kelaparan, sebab itulah teruslah pelihara keamanan dan kedaulatan negara kita,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH