RANAU, SABAH – Seramai 496 pelajar B40 di 11 buah sekolah menengah di daerah ini menerima bantuan komputer riba daripada Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Ianya merupakan sebahagian daripada 10,000 unit komputer riba yang diperuntukkan di bawah Program Bantuan Ihsan Komputer Sabah (BAIKS) tahun ini untuk diagihkan kepada para pelajar daripada golongan B40 yang menduduki peperiksaan.
Bantuan tersebut adalah antara inisiatif yang diusulkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bertujuan untuk membantu pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya tiada murid yang tercicir khususnya di era pandemik ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang merasmikan majlis penyampaian pagi tadi berkata pemberian itu membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap perkembangan pendidikan anak-anak Sabah.
“Sejajar dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, saya melihat inisiatif seperti ini sangat baik bagi membantu meningkatkan keupayaan modal insan iaitu dengan memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan penggunaan peranti ini dengan sebaiknya, dan ibu bapa juga hendaklah sentiasa memantau anak-anak mereka semasa peranti ini digunakan.
“Kita yakin, anak-anak yang masih berada di bangku sekolah pada hari ini, merekalah yang bakal menggantikan kita untuk memimpin dan memajukan lagi daerah Ranau di masa hadapan…
“Kerana itu, kita bertanggungjawab untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi sebaik-baik manusia selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Saya berharap agar inisiatif-inisiatif seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan dalam memastikan generasi yang bijak pandai dapat dilahirkan dengan lebih ramai khususnya di negeri kita yang tercinta ini,” ujarnya.

Merakamkan penghargaan kepada Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, beliau berharap majlis ini dapat memberi impak serta hasil yang positif kepada semua pihak yang terlibat.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk M. Yahya Dunggi, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Perindustrian, Yubidi Gumpoyo; Timbalan Yang Di-Pertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad; Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah (Pengurusan HEM), Fazliah Abdul Rahman; Penolong Pegawai Daerah Ranau, Hasinin Kinsim; Timbalan Penolong Pegawai Daerah Ranau Sektor Perancangan, Foo Lee Yen; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Duanis Sany; DUN Karanaan, Rosdi Abdul Ghani; DUN Paginatan, Mohd Hisyamuddin Harun; para pengetua sekolah, kakitangan kementerian Menteri Tugas-Tugas Khas, dan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau.





