KOTA KINABALU: Tiga remaja perempuan asal Ranau yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu sudah ditemui petang kelmarin.
Dilaporkan penemuan tersebut adalah menerusi tindakan salah seorang dari tiga remaja itu yang menghubungi keluarga mereka.
Remaja terbabit adalah, Valensia Mail, 15; Roxanne Abbygail Richard, 13 dan Christivy Holyen Hamdy, 13 dilaporkan keluar dari rumah mereka di Kampung Kaingaran pada 5.30 petang untuk mengikuti latihan silat di SMK Ulu Sugut, Ranau pada Jumaat.
Semenjak itu, ketiga-tiga mereka dikatakan tidak pulang ke rumah dan pihak keluarga telah pun membuat laporan polis pada malam Isnin, lapor Metro.
Ketua Polis Daerah Ranau, ACP Simiun Lomudin mengesahkan penemuan kesemua remaja terbabit di Sandakan.
Katanya semalam, remaja terbabit akan dibawa balik ke Ranau untuk proses soal siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Dalam kenyataan sebelum ini, Simiun berkata, polis menerima laporan kehilangan seorang daripada keluarga remaja terbabit pada jam 8.48 malam.
Siasatan awal katanya mendapati ketiga-tiga remaja itu dilihat kali terakhir oleh orang ramai pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam di pekan Ranau.
Ketiga-tiga mereka dikatakan turun dari sebuah bas mini sebelum dijemput seorang lelaki yang kemudian membawa mereka menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.