KUALA LUMPUR: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan diapit oleh bekas pengerusi, Khaled Mashal telah menyerlahkan keberanian Malaysia dalam membela Palestin.
Anwar dalam satu kenyataan, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.
Selain itu, beliau turut menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.
“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis.
“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan,” tegasnya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata demikian selepas mengambil kesempatan bertemu delegasi Hamas ketika membuat lawatan rasmi di Qatar, semalam.
Tambah beliau, Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa.
Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.