KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Papar dan Lahad Datu mengungguli acara Bola Tampar Sukan Sabah Ke-10 (SAGA X) 2023.
Pasukan bola tampar lelaki Lahad Datu yang juga pasukan pilihan telah menundukkan pasukan Tuaran dengan keputusan 2-1.
Set pertama menyaksikan saingan sengit kedua-dua pasukan yang berentap dan berakhir dengan keputusan 25-19 berpihak kepada Lahad Datu.
Pasukan Tuaran cuba bangkit pada set kedua dan berjaya menewaskan Lahad Datu dengan keputusan 26-24 seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set penentuan Lahad Datu kembali membuktikan mereka adalah pasukan pilihan untuk menjuarai acara bola tampar Saga X 2023 apabila menang bergaya 15-6 sekaligus membawa pulang pingat emas untuk kontinjen mereka.
Dalam kategori wanita pula pasukan daerah Papar telah menjadi johan selepas menewaskan pasukan Kalabakan straight set dengan kiraan mata 25-20 dan 25-23 seterusnya merangkul pingat emas dalam kategori tersebut.
Pasukan bola tampar lelaki Sandakan dan pasukan bola tampar wanita Nabawan masing-masing membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan pasukan lelaki dan wanita Pitas dalam perlawanan penentuan tempat ketiga
Presiden Persatuan Bola Tampar Sabah Abdul Manan Indanan dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia Dan Sukan Adanan @Adnan Atin telah hadir menyampaikan pingat kepada para pemenang acara yang diadakan di Dewan Serbaguna Luyang itu. — JABATAN PENERANGAN SABAH