42 Karya Lukisan Bertaraf Antarabangsa Dipamerkan Di GAH-UMS

42 Karya Lukisan Bertaraf Antarabangsa Dipamerkan Di GAH-UMS

0
SHARE
Antara karya yang dipamerkan di pameran Panggilan Pulau...

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 42 karya lukisan hasil sentuhan 18 seniman dari Malaysia dan luar negara dipamerkan pada Pameran Panggilan Pulau di Galeri Azman Hasim (GAH) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pameran di bawah Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA) itu telah dibuka sejak 5 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit, di sini pada Khamis.

Menurut Puad, pameran bertaraf antarabangsa itu adalah yang julung kalinya diadakan di Galeri tersebut dan menjadi satu acara yang dinantikan oleh semua peminat seni khususnya para pelukis, seniman, mahasiswa dan pelajar di Sabah.

“GAH-UMS sebagai pusat sehenti sentiasa mengadakan pameran berkala karyawan tanah air dan luar negara untuk memberi peluang kepada masyarakat tempatan menilai serta membuat rujukan terhadap perkembangan seni global…

“Peranan galeri GAH-UMS akan menyumbang dan memberi nilai tambah kepada usaha memasyarakatkan seni visual dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah,” katanya.

Puad berucap merasmikan pameran…

Ujar beliau, GAH-UMS juga akan terus memberi ruang kepada pelbagai sesi pameran karya, seminar, bengkel, pertandingan, aktiviti seni persembahan, tayangan filem dan persembahan muzik.

“Usaha ini diharap dapat menyalurkan info dan rujukan kepada mahasiswa dan para penyelidik khususnya seni berelemenkan budaya Sabah…

“Pada pameran kali ini, kumpulan pelukis PERUPA berkongsi makna melalui pengisian naratif secara laras bahasa visual di sebuah lokasi pulau indah dengan penampilan komuniti maritim yang jauh dari hiruk piruk sebuah kota.

“Saya bagi pihak UMS mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua seniman yang terlibat, dan seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan pameran seni Panggilan Pulau ini,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha PERUPA, Ahmad Suketi Ahmad, Penasihat Persatuan Seni Visual Sabah, Cristine Gunting, dan Pensyarah Kanan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Dr Zaimie Sahibil.