Bekas Pengerusi Tabung Haji Dibebaskan Tuduhan Korupsi Berhubung Projek Jalan Raya

Bekas Pengerusi Tabung Haji Dibebaskan Tuduhan Korupsi Berhubung Projek Jalan Raya

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah diberikan pembebasan penuh dalam kes rasuah dan pengubahan wang haramnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Makhamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Abdul Azeez untuk pembebasan bagi sembilan pertuduhan termasuk tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram selepas timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Oleh kerana tiada bantahan oleh pihak pendakwaan, permohonan itu dibenarkan. Abdul Azeez kini dibebaskan dan dilepaskan,” kata Azhar dalam ringkasan penghakiman pagi tadi.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas Ahli Parlimen Baling itu memaklumkan mahkamah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap anak guamnya.

Tambahnya, siasatan telah selesai, dan semua aset serta harta yang dirampas juga telah dikembalikan kepada Abdul Azeez. Peguam itu bagaimanapun tidak menyatakan aset dan harta itu.

Dalam permohonannya, Abdul Azeez juga berkata memandangkan siasatan terhadapnya telah selesai tanpa tindakan lanjut diambil oleh SPRM, adalah “tidak munasabah” untuk mempunyai baki pertuduhan “tergantung di atas kepalanya dalam tempoh yang tidak ditentukan”.

Pada 23 Sept lepas, Abdul Azeez dilepaskan tanpa dibebaskan oleh hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, berikutan representasi dikemukakan olehnya.

Beliau pada mulanya didakwa dengan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, pada awal September, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Abdul Azeez dilaporkan menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, atas kesalahan yang didakwa dilakukan antara Sept 2010 dan April 2018.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah, jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta Akta yang sama.

Undang-undang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.