
KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution hari ini menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan selepas klip video dan beberapa keping gambar lelaki yang kelihatan kurus kering, didakwa ditahan di depoh Imigresen Kimanis di Sabah sedang merayu bantuan.
Beliau berkata adalah tidak adil untuk segera menyalahkan pihak berkuasa sebelum menyiasat perkara itu.
Menjawab klip video itu semasa sidang media hari ini, Saifuddin berkata adalah terlalu awal untuk menganggap bahawa keadaan tahanan dalam klip itu adalah disebabkan oleh layanan di pusat tahanan imigresen tersebut.
“Saya telah dimaklumkan oleh jabatan mengenai perkara ini, kadangkala jika kita terlalu mempermainkan isu ini adalah tidak adil. Pertama, mari kita lihat subjek, sama ada dia seorang rakyat biasa yang mengamalkan gaya hidup sihat…
“Lalu adakah dia turut terikut-ikut atau terlibat dengan aktiviti tidak sihat sehingga menyebabkan keadaan fizikalnya menjadi kurus? Turun berat badan itu bukan kerana dia ditahan, mungkin berlaku sebelum dia ditahan,” katanya selepas lawatan pertamanya ke ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya.
Ditanya sama ada Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat perkara itu, beliau menegaskan bahawa usaha memastikan keselamatan kemudahan tahanannya adalah urusan berterusan.
“Berdasarkan taklimat tadi, ini adalah usaha berterusan yang kita tidak perlu jadualkan atau sebagainya…
“Ia usaha berterusan bermakna kewujudan jabatan ini bukan hanya dalam bilik sejuk. Mereka komited untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan mereka hadir apabila diperlukan,” tambahnya.
Semalam, dilaporkan bahawa klip seorang lelaki kurus kering yang didakwa tahanan depoh imigresen Kimanis merayu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan pengarah imigresen negeri Datuk Sitti Saleha Habib Yusoff untuk membebaskan mereka.