KOTA KINABALU, SABAH – Global Entrepreneur One Stop Centre atau lebih dikenali sebagai GLOPEC, hari ini melakar satu lagi peristiwa penting untuk melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui platform e-dagang dengan memeterai perjanjian kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China.
Perjanjian kerjasama ini merupakan hasil dari respons positif terhadap ujian pasaran yang dijalankan di United Kingdom dan China yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap barangan keluaran Sabah.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara GLOPEC dan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China telah diadakan di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.
Majlis ini merupakan manifestasi inisiatif kerjasama yang merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan strategik GLOPEC untuk tahun 2023. Suku pertama 2023 akan menyaksikan GLOPEC melebarkan sayap perniagaannya ke United Kingdom, China, Korea dan Timur Tengah.
GLOPEC ialah satu usaha kerjasama strategik di antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikat milik penuhnya Kristal Handal Sdn Bhd dan TERAJU. Ia ditubuhkan untuk mengurus dan mengimplementasistruktur perkembangan global PKS Sabah untuk menerokai pasaran antarabangsa.
Sebanyak 54 usahawan telah mendaftar di bawah GLOPEC dan mewakili lebih 60 jenis produk dan lebih dari 300 unit penyimpanan stok yang sedia untuk dipasarkan ke United Kingdom, Jerman, Perancis, Belanda, China, Thailand, Indonesia, Singapura dan Korea.
“Saya amat teruja dengan pelancaran Projek P100 pada bulan Januari 2023. OMalaysia akan meluaskan kempen dalam talian dengan menawarkan produk Malaysia kepada 100 buah kedai di United Kingdom pada tahun 2023, dan GLOPEC merupakan salah satu dari peserta penting di dalam kempen ini…
Usaha ini tidak akan berjaya tanpa komitmen tinggi dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh Encik Azmi Aziz, Pengarah GLOPEC serta pasukannya,” kata Encik Simon Suresh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OMalaysia United Kingdom yang ditemui di majlis tersebut.
Ditubuhkan pada tahun 2016, OMalaysia pada mulanya dikenali sebagai Halal Street United Kingdom.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Simon Suresh merupakan rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom, telah menubuhkan satu platform pasaran dalam talian untuk penjual Malaysia memasarkan produk mereka ke pasaran United Kingdom.
Halal Street United Kingdom kemudiannya melalui proses penjenamaan semula kepada Malaysia pada tahun 2020.
Pada hari ini, OMalaysia merupakan sebuah jenama terkemuka di United Kingdom yang mewakili barangan buatan Malaysia yang terbaik, unik dan bermutu tinggi.
“China merupakan sebuah pasaran yang amat luas dan dengan pelbagai barangan yang ditawarkan oleh GLOPEC, saya pasti HYT dan GLOPEC yang diketuai oleh Encik Azmi Aziz, akan dapat menguasai pasaran China tidak lama lagi,” kata Dato Danny Tan, Pengarah Urusan HYT Cross Borders China.
HYT Cross Borders China telah ditubuhkan pada tahun 2017 dengan matlamat untuk membantu peniaga Malaysia meluaskan perniagaan mereka ke China.
Sejak itu, HYT telah membuka peluang kepada banyak jenama barang Malaysia untuk berurusan dengan 788 juta pengguna dalam talian China, melalui platform e-dagang rentas sempadannya.
Tetamu Kehormat ke majlis tersebut, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar@Yusof bin Khan Bahadar, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, yang telah diwakili oleh Encik Hanafiah Diman, Setiausaha Korporat Yayasan Sabah.
Dalam ucapannya, beliau berkata: ”Saya amat berbangga apabila mengetahui bahawa barang buatan Sabah kini dikenali dipasaran antarabangsa dan berharap dapat menyaksikan peningkatan jualan tidak lama lagi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan GLOPEC, semua para usahawan, rakan kerja strategik antarabangsa serta rakan kerjasama yang baru,” katanya.
Pengarah Glopec Sdn Bhd, Encik Azmi Aziz mengucapkan terima kasih kepada semua para usahawan yang telah memberikan kerjasama yang baik di dalam membantu GLOPEC mencapai matlamat utama untuk membantu para usahawan dan komuniti tempatan meluaskan pasaran kepersada antarabangsa.
“Saya amat gembira kerana dapat menyaksikan segala hasil kerja dan penat lelah pasukan GLOPEC dan rakan kerja strategik antarabangsanya kini mendapat respons yang baik daripada para usahawan dan rakan kerjasama kita,” beliau berkata.