PETALING JAYA: Inisiatif MyIPO NEXTGEN dilihat sebagai pemangkin utama dalam mentransformasikan pengkomersialan harta intelek (IP) di Malaysia, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan strategik lima tahun itu memberi tumpuan kepada usaha menjadikan harta intelek bukan sekadar perlindungan undang-undang, sebaliknya aset strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, kerangka transformasi yang digerakkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia itu berasaskan tiga teras utama iaitu pemodenan perundangan, pendigitalan perkhidmatan dan pengkomersialan harta intelek.
“Transformasi ini sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 (HHIN2026) yang berlangsung dari 28 hingga 30 April, di sini hari ini.
Menurutnya, sambutan Hari Harta Intelek Sedunia yang diraikan setiap 26 April bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dalam memacu inovasi dan kreativiti.
Bagi tahun ini, tema “IP & Sukan: Dari Idea ke Podium” dipilih bagi menonjolkan peranan harta intelek dalam pembangunan industri sukan yang kini semakin bergantung kepada ekosistem inovasi.
Dalam perkembangan sama, statistik menunjukkan sebanyak 15,350 permohonan paten dan 115,852 permohonan cap dagangan direkodkan bagi tempoh 2024 hingga 2025.
Daripada jumlah itu, 118 permohonan paten melibatkan bidang sukan, manakala 1,812 permohonan cap dagangan berkaitan produk serta perkhidmatan sukan dengan 28.5 peratus daripadanya merupakan permohonan tempatan.
Sementara itu, dalam Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN2026), sebanyak 10 kategori anugerah telah disampaikan termasuk kategori utama seperti Organisasi Terunggul Harta Intelek, Wira Inovatif dan Juara Jenama.
Turut diperkenalkan pada tahun ini ialah Anugerah Inspirasi MADANI yang memberi pengiktirafan kepada atlet, pasukan dan organisasi sukan yang berjaya memanfaatkan harta intelek dalam pembangunan sukan.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pengkomersialan, MyIPO turut memberi penekanan kepada pembangunan penilai harta intelek bertauliah, peluasan pembiayaan berasaskan IP kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pemerkasaan Akademi Harta Intelek.
Langkah tersebut diharap mampu meningkatkan sumbangan harta intelek kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta memperkukuh daya saing ekonomi negara secara inklusif.






